Monday, July 30, 2007

PAKCIK, BAPAK KATA DIA TAK DE

Daripada Uqbah bin Amir r.a katanya: Wahai Rasulullah! Engkau mengutuskan kami, lalu kami pergi kepada suatu kaum, tetapi mereka tidak melayani kami, apa pendapat mu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda kepada kami: Sekiranya kamu pergi kepada suatu kaum, lalu mereka melayan kamu sebagaimana yang sepatutnya dilakukan terhadap tetamu, maka terimalah. Sekiranya mereka tidak melakukannya, maka kamu berhak menuntut daripada mereka hak tetamu yang diwajibkan ke atas mereka. (Riwayat Imam Muslim)

ANTARA ADAB BERTAMU

1. MEMINTA IZIN TERLEBIH DAHULU

Ayat 27 hingga 28 surah An-Nur yang bermaksud:

Hai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik itu lebih bagimu agar kamu (selalu) ingat. (27)

Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu:"Kembalilah", Maka hendaklah kamu kembali Itu lebih baik bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (28)

Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : Apabila seseorang itu telah meminta keizinan sebanyak tiga kali tetapi tidak diberi keizinan maka dia hendaklah pulang.

Catitan:

Kita diminta memberi salam, mengetuk pintu ataupun menekan loceng sebanyak tiga kali secara berselang bukannya berturut-turut . Ini adalah bagi memastikan tuan rumah ada di rumah dan kemungkinan besar dia tidak menyahut atau menjawab panggilan kita kerana tugasan atau pun ada masalah lain. Jika kita telah melakukan perkara ini tetapi tiada jawapan maka kita hendaklah pulang. Begitu juga apabila tuan rumah tidak mengizinkan kita untuk masuk maka janganlah kita membantahnya dengan perkataan ataupun perbuatan. Jangan menyimpan perasaan dendam tetapi tanamkan dalam diri sikap baik sangka yang mana kemungkinan waktu ziarah tidak sesuai ataupun dia ada masalah lain.


2. MENJAGA MATA

Rasulullah saw telah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Abu Daud :'' Sesiapa yang melihat kitab saudaranya tanpa terlebih dahulu mendapat keizinannya maka dia sebenarnya telah melihat neraka''.

Catitan:

Jika kitab pun kita dilarang melihatnya tanpa keizinan tuannya, apatah lagi perkara yang lain terutama sesuatu yang merupakan rahsia bagi tuan rumah yang dilawati.

Abu Daud telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Basar telah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W apabila melawat seseorang maka baginda tidak akan memandang ke arah hadapan melainkan baginda memaling muka ke arah kiri atau kanan dan barulah memberi salam.Ini bagi mengelak daripada melihat sesuatu yang berada di dalam rumah orang yang dilawat terutama perkara yang haram dilihat.

Di dalam sohih Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan bahawa Rasululllah S.A.W telah bersabda : Sekiranya seseorang itu memandang kepadamu (rumah) tanpa keizinan maka kamu hendaklah melontarnya dan kamu juga dikehendaki menutup dengan kasar kedua matanya sekiranya kamu mampu berbuat demikian.

Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : Sesiapa yang memandang rumah seseorang tanpa mendapat keizinan daripadanya maka tutuplah kedua matanya dengan kasar, maka sesungguhnya aku telah menegah daripada perbuatan itu.

Catitan:

Daripada hadis-hadis ini dapat kita simpulkan bagaimana Islam sangat mengambil berat mengenai penjagaan mata daripada melihat sesuatu yang ditegah apatah lagi perkara haram. Oleh itu, jagalah mata kita daripada memandang sesuatu di dalam rumah orang yang dilawati tanpa mendapat keizinannya terlebih dahulu. Begitu juga ketika berada di mana sahaja agar kita dapat sama-sama menghindari maksiat mata. Ingatlah bahawa setiap anggota badan kita akan menjadi saksi kepada segala amalan kita di akhirat nanti.
3. MENJAGA PERCAKAPAN

Surah Lukman ayat 19 yang bermaksud : Dan sederhanakanlah kamu semasa berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara itu ialah suara keldai. Jangan berbual perkara yang sia-sia dan melanggar syariat Islam seperti mengumpat dan mencaci.

Ayat 12 surah al-Hujurat : Wahai orang-orang yang beriman, hindarilah kebanyakan daripda buruk sangka, sesungguhnya sebahagian daripada buruk sangka itu merupakan dosa. Dan janganlah kamu mencari kesalahn orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah kamu suka memakan daging saudara kamu sendiri yang sudah mati? Maka sudah tentu kamu berasa jijik untuk berbuat demekian. Dan takutlah kepada Allah,sesungguhnya Allah Maha Menerima taubat lagi Maha Mengasihani.

Catitan:

Memastikan percakapan kita tidak menyakiti hati tuan rumah dan jangan tinggikan suara sehingga mengganggu ahli rumah yang lain terutama ketika pada waktu malam yang mana kemungkinan akan mengganggu ahli rumah yang lain yang hendak tidur dan sebagainya. Jangan berbual terlalu lama sehingga mengganggu masa tuan rumah terutama jika kita tahu dia mempunyai tugasan lain yang perlu diselesaikan. Berbuallah perkara yang dapat menambah pengetahuan terutama yang bersangkutan dengan pelajaran, masalah umat dan mengerat hubungan serta mahabbah.

4. BERTERIMA KASIH DAN MENJAGA RAHSIA

Mengucapkan terima kasih di atas segala layanan yang telah diberikan. Bersalaman sebelum berpisah di samping mengucap kata-kata yang disukai oleh tuan rumah. Sentiasa menjaga rahsia jika ada sama ada berkaitan dengan dirinya, rumah ataupun ahli yang lain agar persahabatan yang di semai terus subur serta segala permasalahan dapat dielakkan.

Sekian, wallahu a’lam

No comments: